| Gambar Saiful dengan tiga menteri, pegawai Najib cetus persoalan konspirasi |
Harakahdaily
Mon | Jun 30, 08 | 6:38:26 pm MYT |
KUALA LUMPUR, 30 Jun - Empat keping gambar yang diedarkan kepada media mencetuskan pelbagai persoalan siapakah sebenarnya Saiful Bukhari Azlan dan adalah beliau merupakan agen pihak tertentu untuk memerangkap Anwar. Mengejutkan, gambar-gambar yang tidak bertarikh itu menggambarkan ‘perhubungan mesra’ Saiful dengan Menteri Pelancongan, Dato’ Seri Azalina Othman Said, Menteri Pertanian, Dato’ Mustapha Mohamed, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Shahrir Abdul Samad dan Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anas Yusof.
Tiga gambar yang membabitkan menteri-menteri tidak dinyatakan lokasi, namun gambar Saiful dengan Pegawai Khas Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak jelas menunjukkan ianya dirakam di Pejabat TPM, yang dikatakan di bangunan Parlimen.
Jika Saiful mula bertugas sebagai Pembantu Peribadi Anwar bermula selepas Pilihan Raya Umum Mac lepas, kemungkinan gambarnya bersama Khairil baru sahaja dirakam iaitu pada sidang parlimen sebulan yang lalu.
Daripada gambar-gambar yang diedarkan, mencetuskan persoalan apakah wujud satu lagi teori konspirasi membabitkan pihak tertinggi dalam negara, yang jelas bertujuan untuk menjejaskan imej politik Anwar Ibrahim.
Ianya juga jelas menunjukkan seolah-olahnya ianya suatu bentuk ‘retaliation’ pihak tertentu untuk menghalang kemaraan Anwar yang semakin hampir membentuk Kerajaan Pusat melalui Pakatan Rakyat.
Semalam, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendedahkan gambar pengadu kes Anwar, Saiful Bukhari Azlan dengan Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anas Yusof.
Dalam kenyataannya awal pagi semalam, Anwar menegaskan:

“Laporan polis yang dibuat terhadap saya awal pagi ini adalah satu rekaan semata-mata. .
Saya percaya kita sedang menyaksikan ulangan pendekatan sama yang digunakan terhadap saya pada tahun 1998 apabila tuduhan palsu dibuat dengan paksaan.
Nyatalah ini satu tindakan terdesak oleh regim Barisan Nasional untuk menghalang usaha rakyat Malaysia menuju kebebasan, demokrasi dan keadilan.
Laporan palsu ini dirancang oleh pihak-pihak berkepentingan untuk menyerang saya sebagai satu serangan balas terhadap bukti yang saya perolehi mengaitkan Ketua Polis Negara Musa Hasan dan Peguam Negara Gani Patail dengan perbuatan salah laku, termasuk usaha pemalsuan bukti-bukti kes yang melibatkan saya pada tahun 1998-99.
Serangan jahat ini tidak akan menghalang saya dari mendedahkan bukti-bukti tersebut kepada awam.
Saya menyeru rakyat Malaysia untuk bangun menentang kuasa-kuasa menindas yang akan digunakan oleh kerajaan pada hari dan minggu-minggu berikutnya.
Kita menjangkakan pihak media, badan kehakiman dan pihak polis akan tunduk di bawah telunjuk serta arahan pemerintah.
Rakan-rakanku rakyat Malaysia- kita telah mengambil langkah berani pada 8hb Mac 2008 untuk mara demi harapan baru untuk kebebasan dan keadilan untuk semua rakyat.
Gerakan rakyat untuk perubahan mesti terus maju dengan segala kekuatan dan keberanian. (Anwar Ibrahim, 29 Jun, Shah Alam)
Sementara itu Anwar dilaporkan sedang berlindung di Kedutaan Turki kerana ancaman bunuh yang diterima beliau.
Hari ini Parti KeADILan Rakyat akan menganjurkan perhimpunan solidariti di Bangunan Parlimen pada jam 1 tengahari. |
Jun 30, 2008
DIkirim oleh
ahlifiqir |
Isu Semasa |
|
No Comments Yet
JUN 29, 2008, KUALA LUMPUR, MALAYSIA
Saya mengeluarkan kenyataan ini dari Kedutaan Republik Turki di Kuala Lumpur. Saya dihantar ke kedutaan tersebut awal pagi ini kerana menyedari nyawa saya di dalam bahaya. Saya berterima kasih kepada mereka yang menawarkan bantuan di saat yang memerlukan dan saya terhutang budi kepada Duta Turki di sini atas kesediaan beliau untuk menerima saya.
Semenjak dari pilihanraya 8hb Mac, ada beberapa sumber yang boleh dipercayai dari dalam kerajaan dan juga perisikan tentera yang menasihati saya bahawa terdapat agen-agen kepimpinan Barisan Nasional telah pun memulakan plot untuk mencederakan saya, keluarga saya serta penyokong saya. Saya diberitahu kemungkinan adanya usaha untuk membunuh saya sebagai salah satu cara untuk menidakkan kehendak rakyat dan untuk mengakhiri proses perubahan yang sudah pun bermula di Malaysia.
Meskipun berhadapan dengan ancaman yang bertujuan untuk menutup mulut saya, keterangan baru mengaitkan Ketua Polis Negara Musa Hassan dan Peguam Negara Gani Patail dengan perbuatan jenayah di dalam memalsukan bukti-bukti kes yang melibatkan saya pada tahun 1998 akan tetap didedahkan kepada umum.
Tuduhan yang dibuat pada hari Sabtu tersebut tidak lebih dari satu ulangan peristiwa yang berlaku pada tahun 1998 apabila saya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, lalu dikurung dan dipukul, kemudiannya didakwa serta disabitkan bersalah di atas perbuatan yang tidak saya lakukan oleh sebuah mahkamah kangaroo.
Penipuan ini jelas dirancang oleh kepimpinan korup Barisan Nasional yang menggunakan seluruh aparat kekuasaan kerajaan termasuklah dengan mengawal badan kehakiman, pihak polis dan juga cengkaman ke atas media perdana. Perancangan jahat ini diulangi oleh kerajaan Barisan Nasional, bertujuan untuk melemahkan arus perubahan dan pembaharuan yang meletus semenjak pilihanraya Mac 2008.
Saya ingin menyatakan kepada keluarga saya, rakan-rakan dan juga penyokong di Malaysia bahawa saya berada di dalam keadaan selamat dan tetap teguh seperti sebelumnya untuk terus berjuang demi Malaysia yang bebas dan adil.
ANWAR IBRAHIM
Jun 30, 2008
DIkirim oleh
ahlifiqir |
Isu Semasa |
Anwar Ibrahim, Barisan Nasional, Gani Patail, kedutaan republik Turki, Mahkamah, Musa Hassan, Pedana Menteri, Pilihanraya, sodomi, timbalan perdana menteri |
2 komen
Sumber dipetik terus dari laman web Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
http://www.anwaribrahimblog.com
Saya tiba ke Kedutaan awal pagi, berlepas dari Quality Inn. Tahniah diatas kelincahan pasukan khas kita!
Pastilah keletihan kerana hampir tidak tidur malam tadi mendengarkan asakan hujah pimpinan. Pastinya kami menganggap Turki negara sahabat dan keputusan untuk ke sini adalah kerana isu keselamatan semata.
Pengalaman lalu mengajar kita bahawa tindakan ganas dan rakus bisa saja dari pendendam. Dan dalam konteks ini cadangan laporan polis saya terhadap Musa Hasan dan Gani Patail adalah berkaitan. Kita dapat buktikan bagaimana mereka berdua terlibat dalam merekayasa bukti, mendera dan menakutkan orang terlibat.
Maka apa yang dipohon adalah jaminan tegas pimpinan negara agar kecurangan lalu tidak berulang! Sebaik ada jaminan keselamatan diri dan keluarga, kami akan segera pulang.
Meskipun layanan di sini agak lumayan, tidak mungkin sama dengan keselesaan di rumah. Dan tidak diizinkan sebarang pertemuan dengan media atau sahabat. Hanya Azizah dan anak-anak dibenar menziarah saya.
Muda-mudahan pihak pemerintah segera memberikan jaminan keselamatan kepada saya sekeluarga. Jika tegas pengumuman sedemikian, saya akan segera pulang meninggalkan Kedutaan.
ANWAR IBRAHIM
p/s: Harapan sekalian penyokong dan sahabat agar Dato’ Seri dilindungi Allah dan mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Insha-Allah.
ahlifiQir
Jun 30, 2008
DIkirim oleh
ahlifiqir |
Isu Semasa |
Anwar Ibrahim, Duta Turki, Gani Patail, Musa Hassan, Quality Inn |
No Comments Yet
Bertarikh pada 29 Jun 2008, sekali lagi negara Malaysia digegarkan dengan berita gempar yang pernah menjadi tajuk utama 10 tahun dahulu yang kini berulang kembali di dada-dada akhbar nasional. Pertuduhan terbaru ini yang melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang kononnya beliau didakwa meliwat seorang lelaki bernama Saiful Bahari @ Saiful Bukhari Azlan yang juga merupakan pembantu khas di pejabat beliau. Dalam pertuduhan kes tersebut, Saiful Bahari mendakwa Mantan Timbalan Perdana Menteri telah melakukan perbuatan seks terhadap dirinya pada beberapa hari lepas bertempat di salah sebuah kondominium di sekitar Damansara. Walau bagaimanapun, dakwaan ini telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan menyifatkan kes ini merupakan konspirasi baru yang menggunakan pendekatan sama 10 tahun lalu yang bertujuan untuk ‘membunuh’ karier politik beliau tatkala ura-ura bertiup kencang Pakatan Rakyat akan mengambil alih tampok pemerintahan negara.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa beliau dan timbalannya tidak langsung terlibat dalam mereka-reka perkara ini dan menyerahkan segala siasatan kes ini terhadap pihak PDRM. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Bakri Zinin, pihak beliau akan menjalankan siasatan telus bagi memastikan perkara ini mendapat keputusan yang wajar dan adil bagi kedua-dua pihak, tertuduh dan penuduh.
Sementara itu Y.B Dato’ Seri Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan yang merupakan Mursyidul Am PAS menyatakan rasa kesal beliau dan menganggap perkara ini adalah ‘mainan politik’ Umno-BN. Beliau juga menyatakan bahawa pertuduhan yang tidak berasas ini betujuan mencemar nama baik Pakatan Rakyat yang terdiri dari PKR, PAS & DAP. Ujar beliau, jika mengikut hukum Islam, kes-kes seperti ini memerlukan saksi kerana perbuatan terkutuk ini dilakukan secara sulit dan bukannya secara terbuka seperti ditengah jalan.
Akhbar Nasional, Utusan Malaysia pada 30 Jun 2008 juga telah memaparkan kenyataan dari Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. Menurut Khairy, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa perkara ini sengaja direka oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan simpati dari rakyat.
Pada pendapat saya, waima apa pun dakwaan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim, masakan ada seorang insan yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk ini sesudah kembali dari mengerjakan umrah di tanah suci beberapa hari lalu. Dan fikirkan secara logik, tergamak-kah anda merekacipta perkara terkutuk seperti ini yang mampu menjatuhkan maruah anda, keluarga, saudara-mara, sahabat handai, dan kenalan semata-mata demi kepentingan politik? Fikirkan.
Arakian pertuduhan ini terhadap Dato’ Seri Anwar, saya yakin bahawa rakyat Malaysia akan berdiri teguh dibelakang beliau bagi memberikan sokongan moral tidak berbelah bagi terhadapnya. Harapan rakyat agar sistem perundangan di Malaysia akan telus dalam penyiasatan ini tanpa membabitkan sebarang pengaruh politik dan konspirasi. Doa dan ikhtiar rakyat kepada Allah akan diteruskan. Semoga Allah memberikan kita petunjuk bukti, yang mana bebar dan yang mana palsu.
Insha-Allah.
ahlifiQir.
Jun 30, 2008
DIkirim oleh
ahlifiqir |
Isu Semasa |
Abdullah Ahmad Badawi, Anwar Ibrahim, Barisan Nasional, DAP, Khairy, Liwat, Nik Aziz, Pas, PKR, Utusan Malaysia |
No Comments Yet
KUALA LUMPUR,17 Jun - Mahkamah Persekutuan di sini semalam memberikan lampu hijau kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar kesahihan dari segi perlembagaan, pemecatannya daripada jawatan Kabinet hampir 10 tahun lalu, oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bernama melaporkan panel tiga anggota itu yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, sebulat suara membenarkan Anwar merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, bahawa pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah sah pelaksanaannya dari segi undang-undang oleh Tun Dr Mahathir.
Berikutan keputusan itu, Mahkamah Persekutuan akan menentukan dua persoalan undang-undang – sama ada pemecatan Anwar tidak mengikut perlembagaan, dan sama ada Tun Dr Mahathir boleh memecat timbalannya tanpa terlebih dahulu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.
Mahkamah akan memutuskan, pertama sama ada peruntukan Artikel 43(5) Perlembagaan Persekutuan secara khusus menghendaki Yang di-Pertuan Agong merupakan kuasa yang membatalkan pelantikan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam Kabinet Malaysia dengan berdasarkan prinsip bahawa hanya pihak yang berkuasa yang melantik mempunyak hak untuk membatalkan sebarang pelantikan yang dibuatnya.
Dan kedua, sama ada pemotongan nama Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan penggantian nama perayu (Anwar) dengan nama responden Tun Dr Mahathir sebagai menteri kewangan melalui perintah Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan 1998 dapat membaiki ketidakpatuhan responden pertama terhadap peruntukan jelas dalam perkara tersebut.
Mahkamah masih belum menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan Anwar itu dan beliau diperintah untuk memfailkan rekod rayuan dalam jangka masa 14 hari.
Bersidang bersama Malanjum ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Datuk Abdul Aziz Mohamad.
Pada 23 Dis 1998, Mahkamah Tinggi menolak saman Anwar terhadap Tun Dr Mahathir dan kerajaan, untuk terus membatalkan permohonannya bagi satu perintah mengisytiharkan keputusan Tun Dr Mahathir memecatnya daripada jawatan Kabinet pada 2 Sept 1998 sebagai salah dari segi undang-undang, tidak sah dan batal.
Anwar menegaskan bahawa pembatalan pelantikannya patut dilakukan Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat perdana menteri dan pembatalannya tidak boleh dikuatkuasakan oleh perdana menteri tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.
Anwar juga gagal memansuhkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas Mahkamah Rayuan pada 25 April 2007 menolak rayuannya dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Mahkamah Rayuan mengesahkan bahawa pemecatan Anwar daripada jawatan Kabinet dilakukan mengikut undang-undang oleh Tun Dr Mahathir memandangkan kuasa untuk melantik dan memecat menteri terletak pada perdana menteri.
Anwar diwakili peguam Karpal Singh, Ram Karpal Singh, S.N.Nair dan Nicholas Netto. Beliau tidak hadir di mahkamah.
Terdahulu Karpal Singah berhujah bahawa Tun Dr Mahathir merupakan orang yang membuat keputusan untuk memecat Anwar daripada jawatan Kabinet dan menggugurkan beliau berkuat kuasa pukul 5.30 petang 2 Sept 1998 tanpa sebarang penunjuk bahawa Yang di-Pertuan Agong telah dinasihati beliau sebelum beliau (Tun Dr Mahathir) menyediakan dan menyerahkan surat pemecatan kepada Anwar.
Karpal Singh berkata Anwar, yang merupakan pemohon terhadap rayuan itu, bersetuju untuk tidak memohon mendapatkan kembali jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerana perkara itu adalah akademik.
Sebaliknya Anwar mahu mahkamah menganugerahkannya ganti rugi.
Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi yang mewakili Tun Dr Mahathir dan kerajaan, membantah permohonan kebenaran itu dengan berkata perkara itu telah menjadi sesuatu yang akademik.
Jun 17, 2008
DIkirim oleh
ahlifiqir |
Isu Semasa |
Anwar Ibrahim, kabinet, karpal singh, mahathir, mahkamah persekutuan, menteri kewangan, perdana menteri, timbalan perdana menteri |
No Comments Yet
Pada 8 Jun, bertempat di Padang AU2, Taman Keramat KL, bermula jam 9.00 malam telah diadakan satu perhimpunan rakyat “Menuju Harapan Baru”. Antara penceramah yang berucap adalah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Y.Bhg. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak- YB Tan Sri Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa- YB Sdr. Azmin Ali serta ADUN Hulu Kelang- YB Sdr. Saari Sungib.
Antara isu hangat yang diperkatakan adalah mengenai kenaikan harga bahan api tatkala kerajaan sedia ada tidak mampu lagi menyalurkan subsidi petrol & diesel kepada rakyat. PKR de facto leader, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tetap dengan komitmen beliau memberi jaminan bahawa jika diizinkan Allah memegang tampok pimpinan negara, Pakatan Rakyat tetap dengan janji akan menurunkan harga bahan api tersebut. Menurut beliau lagi, kerajaan Pakatan Rakyat akan berjimat dalam perbelanjaan demi kesenangan rakyat.
ahlifiQir
Jun 9, 2008
DIkirim oleh
ahlifiqir |
Isu Semasa |
Anwar Ibrahim, Azmin Ali, bahan api, ceramah, diesel, keramat, Khalid Ibrahim, petrol, Saari Sungib |
No Comments Yet
| |
| |
| Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Y.Bhg. Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata ahli Parliman BN akan menyertai Pakatan Rakyat sepertimana yang dirancangkan pada pada 16 September kelak.Pada masa ini, Pakatan Rakyat memerlukan bilangan seramai 30 orang ahli Parlimen BN untuk mengambil alih kerajaan pusat. Menurut Malaysiakini.com, beliau bagaimanapun enggan memberi butir-butir lanjut mengenai jumlah ahli Parlimen BN terbabit atas sebab-sebab keselamatan.
Beliau juga memaklumkan bahawa sesetengah daripada MP terpaksa terbang senyap-senyap ke negara jiran untuk mengadakan perbincangan bersama beliau. Oleh itu, adalah merbahaya jika beliau mendedahkan sebarang nama pada masa ini.
Beliau juga mengakui bahawa telah menemui sesetengah daripada mereka di Sabah, ketika dalam perjalanan ke Filipina semalam. Menurut beliau lagi, pengumuman mengenai ahli Parlimen BN menyertai Pakatan akan hanya didedahkan ketika Parlimen mula bersidang. Beliau bagaimanapun berkata, keputusan mengenainya perlu dibincangkan secara terperinci dengan barisan pemimpin Pakatan Rakyat. |
Jun 9, 2008
DIkirim oleh
ahlifiqir |
Isu Semasa |
Ahli Parlimen, Anwar Ibrahim, Barisan Nasional, kerajaan, Lompat Parti, pakatan rakyat |
No Comments Yet
Selepas pilihanraya Malaysia ke-12 selesai, pelbagai perkara masih diperkatakan oleh orang ramai, hatta media massa sekalipun tentang urusan pentadbiran kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional serta tidak kurang juga oleh Pakatan Rakyat. Rata-rata dari kita masih lagi membincangkan isu tekanan keatas rakyat Malaysia dengan kenaikkan harga makanan serta petrol. Krisis bahan api dilihat antara punca kemerosotan taraf hidup masyarakat terutamanya yang bermastautin di sekitar bandaraya yang mana kebanyakkannya menjadikan kereta dan motorsikal sebagai alat pengangkutan harian.
Walau bagaimanapun, masyarakat di luar bandar juga tidak terlepas dari menjadi ‘mangsa’ krisis ekonomi yang sedang berlaku ini, terutamanya dari kenaikkan harga makanan ruji iaitu beras yang menjulang tinggi berbanding harga lama. Ini memberikan satu impak yang agak ketara dikalangan seluruh warga Malaysia. mungkin dek kerana keghairahan segelintir masyarakat sendiri yang mengejar keuntungan atas kenaikan komoditi harga penanaman sawit serta getah. Bidang-bidang tanah yang dahulunya dikerjakan sebagai bendang telah diratakan untuk penanaman sawit dan getah. Akibat dari perbuatan ini, menyebabkan penanaman padi bagi penghasilan beras untuk kegunaan dalam negara semakin berkurangan.
Mahu atau tidak, pihak kerajaan seharusnya mengkaji usaha untuk mengimport beras dari negara jiran dimana kos import beras ini mungkin lebih murah berbanding dari apa yang ada di Malaysia ketika ini. Akan tetapi kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk mengisytiharkan kenaikkan harga beras bagi menampung kos pengeluaran dari pengilang. Walhal, kerajaan harus mengambil kira keberkesanan proses AFTA (Asean Free Trade) di negara Asean yang lain untuk diimplementasikan di Malaysia bagi mendapatkan harga yang terbaik andainya negara kita gagal mengeluarkan atau mengawal kenaikan harga sejumlah bahan-bahan mentah bagi kegunaan rakyat dalam negara bagi mengelakkan berlakunya inflasi.
Kenaikkan harga petrol dikatakan telah berpunca dari kenaikan harga dunia yang telah mencecah USD$130 bagi setiap tong. Manakala harus juga diingatkan bahawa Malaysia adalah antara negara didunia yang menjadi pengeluaran petrol. Walaupun kita bukan negara yang utama, namun jika dibandingkan dengan negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina, Malaysia masih beruntung kerana telah dikurniakan dengan hasil bumi oleh Allah ini. Hasil dari bumi ini sepatutnya digali dan dihasilkan bagi mendapatkan sejumlah keuntungan yang dapat menampung kos subsidi untuk diagihkan kepada rakyat. Alasan popular diberikan oleh pemerintah, harga bahan api di Malaysia adalah jauh lebih murah berbanding dengan negara-negara jiran berdekatan. Apakah kerajaan lupa yang kita mengeluarkan minyak? Waima pendapatan per kapita negara jauh lebih rendah berbanding negara-negara jiran yang lain. Singapura menjual bahan api dinegara mereka dengan harga RM5.20 setiap liter, akan tetapi pendapatan per kapita rakyatnya adalah RM25,000. Malaysia pula yang pendapatan rakyat per kapitanya sekitar RM4,000 sahaja, namun dipaksa membeli bahan api dengan harga RM2.70 seliter. Tak ubah ibarat membandingkan harga satu kilogram durian di Malaysia dan satu kilogram di Jepun.
Tidak dinafikan jumlah pembangunan di Malaysia boleh dibanggakan, namun apakah hasilnya kepada sejumlah besar rakyat negara ini? Adakah dengan pembangunan dalam negara ini dapat menarik sebahagian besar pelabur asing yang mempunyai pengaruh kuat di dunia untuk melabur di Malaysia? Ataupun pembangunan ini hanya sekadar menjadi perhiasan yang dibangga-banggakan kepada negara luar seolah-olah Malaysia telah berada di tahap pemodenan yang setaraf dengan negara-negara G7. Walhal, rakyat terus sengsara dek dikejar bayang-bayang kemerosotan taraf hidup dan kuasa membeli.
Nah! pada 5 Jun, tanpa diduga rakyat sekali lagi menjadi sasaran diatas kenaikan harga bahan api. Harga bahan api, petrol dan diesel khususnya melambung sebanyak 41% dan 63%. Kenaikan yang memang telah dijangkakan ini bukan sahaja datang terlalu awal dari tempoh yang diwar-warkan oleh kerajaan, bahkan tindakan kerajaan pusat yang membuat keputusan terburu-buru dalam tempoh kurang 5 jam berkuatkuasanya menyebabkan sekali lagi rakyat Malaysia hilang kepercayaan kepada pimpinan kerajaan sekarang ini. Dengan kenaikan harga yang boleh diklasifikasikan sebagai yang ‘terburuk’ masa kini, waima yang berpendapatan rendah, hatta yang berpendapatan sederhana tinggi dan mewah juga merasai tekanannya. Ini secara tidak langsung mengukukuhkan lagi tanggapan rakyat selama ini, bahawa kerajaan tidak mempunyai dana yang secukupnya yang sepatutnya digunakan untuk meringankan beban rakyat.
“Sakit kepala,pening,susah” inilah perkataan-perkataan yang terpacul dari mulut setiap rakyat Malaysia ketika ini. Semuanya akibat dek melambungnya harga bahan api. Jika dahulu, pada kadar harga RM1.92 seliter, hanya kedengaran keluhan dari mereka yang mempunyai keluarga, namun hari ini, jumlah RM2.70 seliter bahan api juga cukup memeningkan bagi mereka yang hidup berseorangan yang juga telah merasakan ‘bahang’ beban yang bakal mendatang. Sudah pasti harga bahan makan juga turut melambung seiringan dengan tariff elektrik, bahan masak mentah dan lain-lain lagi. Oleh itu, mahu atau tidak mahu, benci atau suka, inilah hakikat yang terpaksa ditanggung dan diterima oleh rakyat Malaysia. Barang-barang binaan juga tidak terlepas dari menjadi sasaran kenaikan ini, mungkin selepas ini harga sebuah rumah kos rendah akan mencapai nilai RM70,000 maka tidak hairanlah jika perumahan setinggan tumbuh semula bagai cendawan selepas hujan. Ini semua tidak mustahil, puncanya hanya satu, kegagalan pentadbiran negara menguruskan subsidi bahan api ini.
Jurang antara golongan miskin dan kaya juga akan semakin melebar. Aktiviti jenayah juga dijangka meningkat, kegiatan rasuah berleluasa. Inilah penangan yang tidak dapat kita nafikan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat, sedangkan kualiti sara hidup terus merudum. Rakyat mungkin akan mula sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan kehidupan selesa bagi mereka dan keluarga tanpa mengira sumber datang dari punca halal dan haram.
Oleh itu, rakyat masih terus berharap agar ekonomi negara terus dipacu kehadapan seiring dengan kehendak hidup. Mudah-mudahan Allah memberikan hidayah agar masalah pergelutan ekonomi rakyat Malaysia ini akan beransur pulih dan berada di satu tahap yang boleh dibanggakan jika dibandingkan dengan negara setaraf yang lain.
Tiada guna dibanggakan kemajuan pembangunan oleh pemimpin negara, jika isi bumi dan rakyat di dalamnya merempat sengsara.
ahlifiqir
Jun 6, 2008
DIkirim oleh
ahlifiqir |
Isu Semasa |
bahan api, Barisan Nasional, diesel, kerajaan, malaysia, minyak, pakatan rakyat, petrol, subsidi |
No Comments Yet