| Gambar Saiful dengan tiga menteri, pegawai Najib cetus persoalan konspirasi |
Harakahdaily
Mon | Jun 30, 08 | 6:38:26 pm MYT |
KUALA LUMPUR, 30 Jun - Empat keping gambar yang diedarkan kepada media mencetuskan pelbagai persoalan siapakah sebenarnya Saiful Bukhari Azlan dan adalah beliau merupakan agen pihak tertentu untuk memerangkap Anwar. Mengejutkan, gambar-gambar yang tidak bertarikh itu menggambarkan ‘perhubungan mesra’ Saiful dengan Menteri Pelancongan, Dato’ Seri Azalina Othman Said, Menteri Pertanian, Dato’ Mustapha Mohamed, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Shahrir Abdul Samad dan Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anas Yusof.
Tiga gambar yang membabitkan menteri-menteri tidak dinyatakan lokasi, namun gambar Saiful dengan Pegawai Khas Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak jelas menunjukkan ianya dirakam di Pejabat TPM, yang dikatakan di bangunan Parlimen.
Jika Saiful mula bertugas sebagai Pembantu Peribadi Anwar bermula selepas Pilihan Raya Umum Mac lepas, kemungkinan gambarnya bersama Khairil baru sahaja dirakam iaitu pada sidang parlimen sebulan yang lalu.
Daripada gambar-gambar yang diedarkan, mencetuskan persoalan apakah wujud satu lagi teori konspirasi membabitkan pihak tertinggi dalam negara, yang jelas bertujuan untuk menjejaskan imej politik Anwar Ibrahim.
Ianya juga jelas menunjukkan seolah-olahnya ianya suatu bentuk ‘retaliation’ pihak tertentu untuk menghalang kemaraan Anwar yang semakin hampir membentuk Kerajaan Pusat melalui Pakatan Rakyat.
Semalam, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendedahkan gambar pengadu kes Anwar, Saiful Bukhari Azlan dengan Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anas Yusof.
Dalam kenyataannya awal pagi semalam, Anwar menegaskan:

“Laporan polis yang dibuat terhadap saya awal pagi ini adalah satu rekaan semata-mata. .
Saya percaya kita sedang menyaksikan ulangan pendekatan sama yang digunakan terhadap saya pada tahun 1998 apabila tuduhan palsu dibuat dengan paksaan.
Nyatalah ini satu tindakan terdesak oleh regim Barisan Nasional untuk menghalang usaha rakyat Malaysia menuju kebebasan, demokrasi dan keadilan.
Laporan palsu ini dirancang oleh pihak-pihak berkepentingan untuk menyerang saya sebagai satu serangan balas terhadap bukti yang saya perolehi mengaitkan Ketua Polis Negara Musa Hasan dan Peguam Negara Gani Patail dengan perbuatan salah laku, termasuk usaha pemalsuan bukti-bukti kes yang melibatkan saya pada tahun 1998-99.
Serangan jahat ini tidak akan menghalang saya dari mendedahkan bukti-bukti tersebut kepada awam.
Saya menyeru rakyat Malaysia untuk bangun menentang kuasa-kuasa menindas yang akan digunakan oleh kerajaan pada hari dan minggu-minggu berikutnya.
Kita menjangkakan pihak media, badan kehakiman dan pihak polis akan tunduk di bawah telunjuk serta arahan pemerintah.
Rakan-rakanku rakyat Malaysia- kita telah mengambil langkah berani pada 8hb Mac 2008 untuk mara demi harapan baru untuk kebebasan dan keadilan untuk semua rakyat.
Gerakan rakyat untuk perubahan mesti terus maju dengan segala kekuatan dan keberanian. (Anwar Ibrahim, 29 Jun, Shah Alam)
Sementara itu Anwar dilaporkan sedang berlindung di Kedutaan Turki kerana ancaman bunuh yang diterima beliau.
Hari ini Parti KeADILan Rakyat akan menganjurkan perhimpunan solidariti di Bangunan Parlimen pada jam 1 tengahari. |
Jun 30, 2008
DIkirim oleh
ahlifiqir |
Isu Semasa |
|
No Comments Yet
JUN 29, 2008, KUALA LUMPUR, MALAYSIA
Saya mengeluarkan kenyataan ini dari Kedutaan Republik Turki di Kuala Lumpur. Saya dihantar ke kedutaan tersebut awal pagi ini kerana menyedari nyawa saya di dalam bahaya. Saya berterima kasih kepada mereka yang menawarkan bantuan di saat yang memerlukan dan saya terhutang budi kepada Duta Turki di sini atas kesediaan beliau untuk menerima saya.
Semenjak dari pilihanraya 8hb Mac, ada beberapa sumber yang boleh dipercayai dari dalam kerajaan dan juga perisikan tentera yang menasihati saya bahawa terdapat agen-agen kepimpinan Barisan Nasional telah pun memulakan plot untuk mencederakan saya, keluarga saya serta penyokong saya. Saya diberitahu kemungkinan adanya usaha untuk membunuh saya sebagai salah satu cara untuk menidakkan kehendak rakyat dan untuk mengakhiri proses perubahan yang sudah pun bermula di Malaysia.
Meskipun berhadapan dengan ancaman yang bertujuan untuk menutup mulut saya, keterangan baru mengaitkan Ketua Polis Negara Musa Hassan dan Peguam Negara Gani Patail dengan perbuatan jenayah di dalam memalsukan bukti-bukti kes yang melibatkan saya pada tahun 1998 akan tetap didedahkan kepada umum.
Tuduhan yang dibuat pada hari Sabtu tersebut tidak lebih dari satu ulangan peristiwa yang berlaku pada tahun 1998 apabila saya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, lalu dikurung dan dipukul, kemudiannya didakwa serta disabitkan bersalah di atas perbuatan yang tidak saya lakukan oleh sebuah mahkamah kangaroo.
Penipuan ini jelas dirancang oleh kepimpinan korup Barisan Nasional yang menggunakan seluruh aparat kekuasaan kerajaan termasuklah dengan mengawal badan kehakiman, pihak polis dan juga cengkaman ke atas media perdana. Perancangan jahat ini diulangi oleh kerajaan Barisan Nasional, bertujuan untuk melemahkan arus perubahan dan pembaharuan yang meletus semenjak pilihanraya Mac 2008.
Saya ingin menyatakan kepada keluarga saya, rakan-rakan dan juga penyokong di Malaysia bahawa saya berada di dalam keadaan selamat dan tetap teguh seperti sebelumnya untuk terus berjuang demi Malaysia yang bebas dan adil.
ANWAR IBRAHIM
Jun 30, 2008
DIkirim oleh
ahlifiqir |
Isu Semasa |
Anwar Ibrahim, Barisan Nasional, Gani Patail, kedutaan republik Turki, Mahkamah, Musa Hassan, Pedana Menteri, Pilihanraya, sodomi, timbalan perdana menteri |
2 komen
Sumber dipetik terus dari laman web Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
http://www.anwaribrahimblog.com
Saya tiba ke Kedutaan awal pagi, berlepas dari Quality Inn. Tahniah diatas kelincahan pasukan khas kita!
Pastilah keletihan kerana hampir tidak tidur malam tadi mendengarkan asakan hujah pimpinan. Pastinya kami menganggap Turki negara sahabat dan keputusan untuk ke sini adalah kerana isu keselamatan semata.
Pengalaman lalu mengajar kita bahawa tindakan ganas dan rakus bisa saja dari pendendam. Dan dalam konteks ini cadangan laporan polis saya terhadap Musa Hasan dan Gani Patail adalah berkaitan. Kita dapat buktikan bagaimana mereka berdua terlibat dalam merekayasa bukti, mendera dan menakutkan orang terlibat.
Maka apa yang dipohon adalah jaminan tegas pimpinan negara agar kecurangan lalu tidak berulang! Sebaik ada jaminan keselamatan diri dan keluarga, kami akan segera pulang.
Meskipun layanan di sini agak lumayan, tidak mungkin sama dengan keselesaan di rumah. Dan tidak diizinkan sebarang pertemuan dengan media atau sahabat. Hanya Azizah dan anak-anak dibenar menziarah saya.
Muda-mudahan pihak pemerintah segera memberikan jaminan keselamatan kepada saya sekeluarga. Jika tegas pengumuman sedemikian, saya akan segera pulang meninggalkan Kedutaan.
ANWAR IBRAHIM
p/s: Harapan sekalian penyokong dan sahabat agar Dato’ Seri dilindungi Allah dan mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Insha-Allah.
ahlifiQir
Jun 30, 2008
DIkirim oleh
ahlifiqir |
Isu Semasa |
Anwar Ibrahim, Duta Turki, Gani Patail, Musa Hassan, Quality Inn |
No Comments Yet
Bertarikh pada 29 Jun 2008, sekali lagi negara Malaysia digegarkan dengan berita gempar yang pernah menjadi tajuk utama 10 tahun dahulu yang kini berulang kembali di dada-dada akhbar nasional. Pertuduhan terbaru ini yang melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang kononnya beliau didakwa meliwat seorang lelaki bernama Saiful Bahari @ Saiful Bukhari Azlan yang juga merupakan pembantu khas di pejabat beliau. Dalam pertuduhan kes tersebut, Saiful Bahari mendakwa Mantan Timbalan Perdana Menteri telah melakukan perbuatan seks terhadap dirinya pada beberapa hari lepas bertempat di salah sebuah kondominium di sekitar Damansara. Walau bagaimanapun, dakwaan ini telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan menyifatkan kes ini merupakan konspirasi baru yang menggunakan pendekatan sama 10 tahun lalu yang bertujuan untuk ‘membunuh’ karier politik beliau tatkala ura-ura bertiup kencang Pakatan Rakyat akan mengambil alih tampok pemerintahan negara.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa beliau dan timbalannya tidak langsung terlibat dalam mereka-reka perkara ini dan menyerahkan segala siasatan kes ini terhadap pihak PDRM. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Bakri Zinin, pihak beliau akan menjalankan siasatan telus bagi memastikan perkara ini mendapat keputusan yang wajar dan adil bagi kedua-dua pihak, tertuduh dan penuduh.
Sementara itu Y.B Dato’ Seri Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan yang merupakan Mursyidul Am PAS menyatakan rasa kesal beliau dan menganggap perkara ini adalah ‘mainan politik’ Umno-BN. Beliau juga menyatakan bahawa pertuduhan yang tidak berasas ini betujuan mencemar nama baik Pakatan Rakyat yang terdiri dari PKR, PAS & DAP. Ujar beliau, jika mengikut hukum Islam, kes-kes seperti ini memerlukan saksi kerana perbuatan terkutuk ini dilakukan secara sulit dan bukannya secara terbuka seperti ditengah jalan.
Akhbar Nasional, Utusan Malaysia pada 30 Jun 2008 juga telah memaparkan kenyataan dari Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. Menurut Khairy, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa perkara ini sengaja direka oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan simpati dari rakyat.
Pada pendapat saya, waima apa pun dakwaan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim, masakan ada seorang insan yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk ini sesudah kembali dari mengerjakan umrah di tanah suci beberapa hari lalu. Dan fikirkan secara logik, tergamak-kah anda merekacipta perkara terkutuk seperti ini yang mampu menjatuhkan maruah anda, keluarga, saudara-mara, sahabat handai, dan kenalan semata-mata demi kepentingan politik? Fikirkan.
Arakian pertuduhan ini terhadap Dato’ Seri Anwar, saya yakin bahawa rakyat Malaysia akan berdiri teguh dibelakang beliau bagi memberikan sokongan moral tidak berbelah bagi terhadapnya. Harapan rakyat agar sistem perundangan di Malaysia akan telus dalam penyiasatan ini tanpa membabitkan sebarang pengaruh politik dan konspirasi. Doa dan ikhtiar rakyat kepada Allah akan diteruskan. Semoga Allah memberikan kita petunjuk bukti, yang mana bebar dan yang mana palsu.
Insha-Allah.
ahlifiQir.
Jun 30, 2008
DIkirim oleh
ahlifiqir |
Isu Semasa |
Khairy, Anwar Ibrahim, PKR, Pas, DAP, Barisan Nasional, Abdullah Ahmad Badawi, Nik Aziz, Utusan Malaysia, Liwat |
No Comments Yet