Sumber Inspirasi Semasa

Just another WordPress.com weblog

Dato’ Seri Anwar Ibrahim dituduh liwat pembantu khas beliau.

Bertarikh pada 29 Jun 2008, sekali lagi negara Malaysia digegarkan dengan berita gempar yang pernah menjadi tajuk utama 10 tahun dahulu yang kini berulang kembali di dada-dada akhbar nasional.  Pertuduhan terbaru ini yang melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang kononnya beliau didakwa meliwat seorang lelaki bernama Saiful Bahari @ Saiful Bukhari Azlan yang juga merupakan pembantu khas di pejabat beliau.  Dalam pertuduhan kes tersebut, Saiful Bahari mendakwa Mantan Timbalan Perdana Menteri telah melakukan perbuatan seks terhadap dirinya pada beberapa hari lepas bertempat di salah sebuah kondominium di sekitar Damansara.  Walau bagaimanapun, dakwaan ini telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan menyifatkan kes ini merupakan konspirasi baru yang menggunakan pendekatan sama 10 tahun lalu yang bertujuan untuk ‘membunuh’ karier politik beliau tatkala ura-ura bertiup kencang Pakatan Rakyat akan mengambil alih tampok pemerintahan negara. 

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa beliau dan timbalannya tidak langsung terlibat dalam mereka-reka perkara ini dan menyerahkan segala siasatan kes ini terhadap pihak PDRM. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Bakri Zinin, pihak beliau akan menjalankan siasatan telus bagi memastikan perkara ini mendapat keputusan yang wajar dan adil bagi kedua-dua pihak, tertuduh dan penuduh.

Sementara itu Y.B Dato’ Seri Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan yang merupakan Mursyidul Am PAS menyatakan rasa kesal beliau dan menganggap perkara ini adalah ‘mainan politik’ Umno-BN. Beliau juga menyatakan bahawa pertuduhan yang tidak berasas ini betujuan mencemar nama baik Pakatan Rakyat yang terdiri dari PKR, PAS & DAP.  Ujar beliau, jika mengikut hukum Islam, kes-kes seperti ini memerlukan saksi kerana perbuatan terkutuk ini dilakukan secara sulit dan bukannya secara terbuka seperti ditengah jalan.

Akhbar Nasional, Utusan Malaysia pada 30 Jun 2008 juga telah memaparkan kenyataan dari Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. Menurut Khairy, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa perkara ini sengaja direka oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan simpati dari rakyat.

Pada pendapat saya, waima apa pun dakwaan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim, masakan ada seorang insan yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk ini sesudah kembali dari mengerjakan umrah di tanah suci beberapa hari lalu. Dan fikirkan secara logik, tergamak-kah anda merekacipta perkara terkutuk seperti ini yang mampu menjatuhkan maruah anda, keluarga, saudara-mara, sahabat handai, dan kenalan semata-mata demi kepentingan politik?  Fikirkan.

Arakian pertuduhan ini terhadap Dato’ Seri Anwar, saya yakin bahawa rakyat Malaysia akan berdiri teguh dibelakang beliau bagi memberikan sokongan moral tidak berbelah bagi terhadapnya.  Harapan rakyat agar sistem perundangan di Malaysia akan telus dalam penyiasatan ini tanpa membabitkan sebarang pengaruh politik dan konspirasi. Doa dan ikhtiar rakyat kepada Allah akan diteruskan. Semoga Allah memberikan kita petunjuk bukti, yang mana bebar dan yang mana palsu.

Insha-Allah.

ahlifiQir.

Jun 30, 2008 - DIkirim oleh ahlifiqir | Isu Semasa | , , , , , , , , , | No Comments Yet

Tiada komen.

Tinggalkan komen