Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulillahirobil’alamin, Was’solatuwasalamu’ala ashrofil anbia’iwalmursalin, Saiyidina Muhammadiwwa’ala alihi Wasohbihi ajmai’n.
Alhamdulillah, syukur saya ke hadrat Allah Ta’ala, dengan limpahan rezeki dan kurnia-Nya dapat sedikit sebanyak saya kongsikan dengan anda tentang apa yang berlaku pada malam semalam (1 Julai 2008) di Stadium Malawati, Shah Alam.
Kira-kira jam 4 petang semalam saya dimaklumkan melalui beberapa rakan, laman web dan blog tentang kemunculan pertama Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dalam majlis ceramah perdana selepas pertuduhan terbaru terhadap beliau baru-baru ini. Dan Alhamdulillah, saya dan seorang sahabat berjanji bersama dan telah berjaya hadir ke Ceramah Perdana Pakatan Rakyat tersebut.
Lebih kurang jam 9 malam, saya dan sahabat C.Roslan Abdullah tiba di perkarangan tempat letak kereta yang menyaksikan ribuan kenderaan bersesak-sesak memasuki kawasan tesebut. Kesesakan lalulintas telah bermula sebelum persimpangan masuk ke stadium atau lebih tepat saya katakan kesesakan ini bermula di sebuah apartment ‘Brunsfield’ yang terletak betul-betul di simpang luar menuju ke Stadium Malawati. Saya dan sahabat merasa agak kagum dengan sambutan yang diterima Pakatan Rakyat walhal tempoh pengumuman mengenai ceramah ini hanya dikeluarkan pada masa kurang 5 jam sahaja.
Didalam stadium juga menyaksikan puluhan ribu lautan manusia yang hadir. Mungkin agak keterlaluan jika saya katakan kehadiran orang ramai mencecah 100,000 orang, tetapi berani saya nyatakan bahawa jumlah hadirin dan hadirat yang hadir pada malam tersebut tidak kurang dari 20,000. Dan yang lucunya, sekali lagi akhbar Utusan dan TV3 telah gagal membuat kira-kira anggaran terhadap kehadiran penyokong pada malam itu apabila mereka nyatakan bahawa kehadiran hanya sekitar 7,000 hingga 10,000 orang sahaja. Diharap selepas ini pihak TV3 dan Utusan dapat mengambil pekerja yang bijak ilmu hisab, Haha! Senario ini merupakan satu jumlah yang amat memberangsangkan bagi satu majlis yang undangannya dikeluarkan dalam tempoh singkat tanpa sebarang insentif seperti perkhidmatan bas, wang saku, makanan dan minuman diberikan. Inilah dinamakan perjuangan ikhlas. Inilah dinamakan kuasa rakyat. Rakyat yang berhak menentukan majlis apa yang mereka patut hadir dan sebaliknya.
Ceramah telah dimulakan pada jam 9.00 malam. Sebagai pembukaan, ahli Parlimen Subang Jaya yang juga Naib Preseiden Parti KeADILan Rakyat, YB Sivarasa membawa seluruh hadirin mengimbau kembali peristiwa yang sama pertuduhannya pada hari ini dimana ia telah berlaku 10 tahun yang lalu. Gambar Dato’ Seri Anwar semasa didalam tahanan dengan lebam disekitar mata, gambar-gambar protes rakyat semasa 1998 juga ditayangkan semula.
Selepas kira-kira 45 minit kemudian, ucapan diserahkan pula kepada Naib Presiden Parti keADILan Rakyat yang juga ahli Parlimen Gombak, YB Azmin Ali. Azmin secara terang-terangan mendakwa bahawa terdapat konspirasi politik murahan yang dimainkan oleh Timbalan Perdana Menteri, isterinya, Ketua Polis Negara, Hakim Negara dan penuduh yang mendakwa diliwat oleh Dato’ Seri Anwar. Dakwa beliau lagi, pertuduhan terdesak ini tidak lain dan tidak bukan untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat dalam proses pengambilalihan pemerintahan persekutuan dan juga ingin menafikan hak Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam pilihanraya kecil yang mana ia sepatutnya diumumkan pada tarikh 1 Julai 2008. Namun dengan kehadiran pertuduhan baru ini, Dato’ Seri Anwar terpaksa menganjakkan sedikit tempoh pengumuman ini pada satu masa yang dianggap sesuai bagi beliau.
Sedang ucapan YB Azmin Ali berlangsung, kemunculan Dato’ Seri Anwar Ibrahim disambut dengan sorakan dan tepukan yang sungguh gemuruh oleh seluruh hadirin. Sorakan Reformasi! kedengaran riuh dilaungkan oleh segenap masyarakat disitu, Masyarakat Melayu melungkan Takbir! Allahu Akbar!, masyarakat India khususnya melaungkan laungan azimat mereka Makkal Shakti! dan tidak kurang juga harapan yang dipertaruhkan oleh masyarakat cina pada malam itu dengan menyokong laungan Hidup Anwar!
Sejurus selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim naik ke atas pentas, melodi lagu kebangsaan dimainkan. Sekali lagi bergema Stadium Malawati dek kerana nyanyian lagu Negaraku yang penuh semangat oleh hadirin, sesekali mendatangkan sedikit raut wajah sebak pada Dato Seri Anwar. Seraya itu, lagu Parti keADILan pula dinyanyikan.
Membujur Lalu, Melintang Patah, Keadilan Untuk Malaysia…..
Sejurus lagu Parti Keadilan Rakyat dinyanyikan, laungan Reformasi! sebanyak 3 kali kedengaran kembali oleh penyokong Pakatan Rakyat.
Dato’ Seri Anwar yang tampak segak dan yakin memulakan hujahan beliau yang berjaya memukau hampir seluruh warga hadirin malam itu. Beliau menyatakan bahawa implementasi korup oleh pemerintah-pemerintah atasan negara dalam sistem pentadbiran negara telah menyebabkan sistem perundangan dan badan kehakiman serta tidak ketinggalan PDRM menjadi robah dan tidak telus dalam menjalankan siasatan di negara ini terutamanya kes beliau pada 1998.
Difahamkan, wujud konspirasi yang bersungguh-sungguh mahukan beliau tunduk dan rebah kepada setiap fitnah yang dilemparkan. Namun, seperti yang rakyat Malaysia sedia arif, Dato’ Seri Anwar bukanlah individu yang hanya mahu berduduk diam setelah dikeji dan difitnah, namun sebaliknya semangatnya beliau untuk bangkit semakin membuak-buak. Beliau menafikan sekeras-kerasnya pendakwaan terhadap beliau dan menganggap cerita baru mengikut skrip lapok ini telah direkayasa oleh puak-puak pihak pemerintah yang busuk hati terhadap kemaraan beliau dan kerajaan Pakatan Rakyat menuju kepada proses pengambilalihan tampok pemerintahan persekutuan kelak. Beliau juga mengingatkan seluruh hadirin bahawa dirinya sedikit pun tidak gusar dengan tohmahan bertalu-talu ini dari pihak penuduh dan media, sebaliknya mengajak seluruh warga Malaysia agar berdoa kehadhrat Allah Ta’ala supaya ditunjukkan kebenaran. Insha-Allah.
Dato’ Seri Anwar juga mengulangi prinsip beliau bahawa jika ditakdirkan Allah bahawa Malaysia ini akan ditadbir oleh kerajaan Pakatan Rakyat, beliau tidak akan tunduk kepada permintaan yang dianggap merapu oleh pihak luar. Beliau akan pertahankan kepentingan kaum majoriti negara, Melayu khususnya dan berjanji akan menjaga dan pertahan segala perlembagaan kepentingan orang Melayu yang sedia ada. Dan dalam masa yang sama, mengangkat martabat kaum lain, kaum Cina, India, Kadazan, Iban, Murut dan lain-lain. Selaras dengan motto yang kerap beliau laungkan iaitu ‘Ketuanan Rakyat’.
Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan sekarang gagal dari segi menguruskan pentadbiran ketelusan badan kehakiman dan pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia. Apatah lagi jika dibicarakan soal ekonomi yang jauh merudum dengan kadar inflasi yang meningkat kini. Beliau menegaskan bahawa jika ada pihak yang percaya dengan dakwaan kerajaan dimana kadar inflasi negara berada pada tahap 3%, maka orang ini kurang cerdik.
Apa yang cuba Dato’ Seri Anwar tekankan disini adalah perjuangan yang bukannya berkenaan dengan susuk peribadi beliau yang dipertaruhkan, akan tetapi, soal negara dan bangsa. Bagaimana cara menjadikan Malaysia negara yang maju, dengan kadar pertumbuhan ekonominya memberangsangkan, dan pada masa yang sama rakyat tidak terbeban dengan kuasa membeli yang makin parah seperti apa yang dihadapi sekarang. Disamping itu, beliau menegaskan sekali lagi prinsip beliau wai’ma sebelum pilihanraya sekalipun dimana jika ditakdirkan perubahan kerajaan persekutuan akan berlaku bagi membolehkan Pakatan Rakyat memerintah, “Hari ini kita memerintah, esok kita turunkan harga minyak!” Ini jelas sekali mendapat sokongan positif dari seluruh warga Malaysia. Namun menurut beliau, pemerintahan negara ketika ini akan sentiasa mencari jalan bagi menafikan kenyataan ini.
Pada akhir ucapan beliau, beliau menyatakan kepada seluruh rakyat yang hadir pada malam tersebut bahawa banyakkan berdoa, bertahmid, dan beliau secara peribadi juga berdoa kepada Allah memohon semoga jika ini adalah satu ujian, jadikanlah ujian ini ujian yang terakhir bagi dirinya dan selitkan hikmah disebalik ujian ini kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya.
Wabillahitaufik Wal-hidayah. Wassalamualaikum Warohmatullahi-Ta’ala Wabarokatuh.
Salam reformasi, Salam perubahan.
ahlifiQir